Friday, December 14, 2012

KISAH PERUTUSAN RASULULLAH KEPADA RAJA ROM

Kisah perutusan Rasulullah SAW kepada satu kerajaan besar pada zaman Rasulullah iaitu kerajaan Rom di bawah pemerintahan rajanya bernama Hiraklius atau Hercules diperincikan dalam kisah kali ini yang sangat menarik untuk tatapan pembaca sekelian. Ikutilah kisah bersejarah ini seterusnya. Rasulullah telah memilih Sayyidina Dehya’ al Qalbi sebagai utusan kepada Hiraklius (Hercules), Kaisar atau Raja Rom. Pusat pemerintahan kerajaan Rom adalah di Kostantinopel, Turki. Selain dari Eropah, kerajaan Rom juga menguasai negara Syam dan Mesir. Rom telah menang terhadap Parsi dalam peperangan besar terakhir di antara mereka. Dua kerajaan ini adalah dua empayar yang menguasai dunia ketika itu. Beberapa tahun sebelum itu, Rom telah dikalahkan oleh Parsi. Selepas kekalahan itu, Hiraklius telah bernazar akan berjalan kaki untuk melakukan ibadah haji sekiranya Rom dapat mengalahkan Parsi. Dia berazam akan berjalan kaki dari Kostantinopel ke Baitul Maqdis. Setelah Rom menang pada kali ini, Hiraklius ingin menunaikan nazarnya. Ketika dalam perjalanan ke Baitul Maqdis, dia bermimpi bahawa kerajaannya akan dijatuhkan oleh satu kaum yang berkhatan. Sebaik sahaja tiba di Baitul Maqdis, dia bertanya kepada para pendeta Baitul Maqdis siapakah yang berkhatan di negeri mereka. Para pendeta memberitahu bahawa hanya orang Yahudi yang berkhatan. Hiraklius berazam akan menghapuskan seluruh keturunan Yahudi yang berada di Syam. Sebelum sempat bertindak kepada bangsa Yahudi, Hiraklius mendapat tahu bahawa orang Arab juga ada yang berkhatan. Seorang pencuri daripada bangsa Arab telah ditangkap. Apabila diperiksa tentera Rom mendapati lelaki Arab ini berkhatan. Mereka segera memberitahu Hiraklius bahawa orang Arab juga berkhatan. Hiraklius minta supaya pencuri itu dibawa kepadanya. Dia bertanya kepada pencuri itu, “Siapa kamu?” Lelaki itu memberitahu namanya dan dia berbangsa Arab daripada suku Quraisy. Hiraklius bertanya lagi, “Adakah sesuatu yang pelik berlaku di tempat kamu?” Lelaki itu memberitahu, “Ada seorang lelaki bernama Muhammad dari kalangan kami telah mengaku menjadi Nabi.” Hiraklius tidak terkejut kerana sememangnya dia mengetahui bahawa ada Nabi yang akan diutuskan kerana dia juga seorang yang alim dengan ilmu Kitab Nasrani. Hiraklius mahu mengetahui lagi tentang kemunculan Nabi daripada bangsa Arab ini. Dia telah memerintahkan tenteranya supaya membawa kepadanya orang Arab Quraisy yang sedang berada di Syam. Ketika itu Abu Sufyan dan para peniaga Mekah sedang berada di Syam. Lalu merekalah yang dibawa bertemu Hiraklius. Imam Bukhari telah merakamkan di dalam Sohihul Bukhari perbualan berikut di antara Hiraklius dan Abu Sufyan. Hiraklius bertanya kepada rombongan Abu Sufyan, “Siapakah di kalangan kamu yang paling dekat nasabnya dengan Muhammad?” Abu Sufyan menjawab, “Akulah yang paling dekat.” Nasabnya bertemu dengan Rasulullah pada datuknya yang kelima. Kaisar memerintahkan rombongan Quraisy duduk dan Abu Sufyan mengadapnya. Hiraklius mahu Abu Sufyan menjawab semua soalannya dengan jujur. Sekiranya Abu Sufyan berbohong Hiraklius mahu semua anggota rombongan yang lain memberi jawapan yang benar. Abu Sufyan menegaskan, “Demi Allah, sekalipun aku berbohong tiada siapa yang akan membantah kerana kedudukan aku di kalangan mereka. Tetapi aku seorang pemimpin Quraisy. Berbohong adalah aib besar apatah lagi di hadapan orang ramai.” Seterusnya berlakulah dialog di antara Hiraklius dan Abu Sufyan. Hiraklius: “Bagaimana nasabnya?” Abu Sufyan: “Dia daripada keturunan yang mulia”. Hiraklius: “Apakah ada orang sebelumnya membuat pengakuan yang serupa? Abu Sufyan: “Tidak ada.” Hiraklius: “Apakah ada di kalangan datuk-datuknya raja?” Abu Sufyan: “Tidak ada.” Hiraklius: “ Apakah pengikutnya dari kalangan pembesar atau daripada kalangan rakyat jelata?” Abu Sufyan: “Bahkan pengikutnya dari kalangan rakyat jelata.” Heraklius: “Apakah jumlah mereka bertambah atau berkurang?” Abu Sufyan: “Jumlah mereka bertambah.” Hiraklius: “ Apakah ada salah seorang dari mereka murtad dari agamany.a kerana benci kepada agamanya?” Abu Sufyan: “Tidak ada.” Hiraklius: “Apakah kamu menuduh dia menipu sebelum dia membawa apa yang dibawanya sekarang ?” Abu Sufyan: “Tidak.” Hiraklius: “Apakah dia mengkhianati perjanjian?” Abu Sufyan: “Tidak, tetapi sekarang kami sedang dalam tempoh perjanjian dengannya. Kami tidak tahu kali ini apakah dia akan khianat atau tidak.” Abu Sufyan memang mencari-cari peluang untuk memburukkan Rasulullah SAW di depan Hiraklius namun tiada peluang melainkan dalam jawapan ini. Hiraklius: “Apakah kamu memeranginya?” Abu Sufyan: “Ya, kami memeranginya.” Hiraklius: “Bagaimana kesudahan peperangan kamu dengannya?” Abu Sufyan: “Peperangan di antara kami dengan mereka silih berganti, adakala mereka menang, adakalanya kami menang.” Hiraklius: “Apakah yang dia perintahkan kepada kamu?” Abu Sufyan: “Dia memerintahkan kami supaya menyembah Allah yang Esa dan melarang kami dari mensyirikkan Allah Dia juga memerintahkan kami meninggalkan apa yang disebut oleh ayah dan datuk kami. Dia juga memerintahkan kami mendirikan sembahyang, berkata benar, menjauhi maksiat dan menyambungkan silaturrahim.” Semua soalan Hiraklius kepada Abu Sufyan adalah berdasarkan ciri-ciri Nabi akhir zaman yang diketahuinya dalam kitab Nasrani. Setelah mendengar keterangan Abu Sufyan, Hiraklius telah membuat kesimpulan berikut: Hiraklius menitahkan kepada penterjemahnya, “Katakan kepada Abu Sufyan, aku telah bertanya tentang nasabnya dan kamu memberitahuku bahawa dia dari keturunan yang mulia. Demikianlah para Rasul diutuskan dari nasab yang mulia di kalangan kaumnya.” “Aku bertanya kamu, apakah ada orang lain yang mengaku sepertinya, kamu kata tidak ada, kalau ada orang lain yang mengaku sebelumnya nescaya aku akan mengatakan bahawa dia meniru seseorang sebelumnya.” “Aku tanya kamu, adakah dia dari pada keturunan raja, kamu jawab, tidak. Kalau dia dari keturunan raja nescaya aku akan berkata bahawa dia mahu mengembalikan pemerintahan ayahnya.” “Aku juga bertanya kamu, apakah kamu menuduh dia sebagai penipu sebelum dia membawa dakwahnya. Kamu jawab, tidak. Kalaulah dia meninggalkan dusta terhadap manusia tentu dia tak akan mendustakan Allah.” “Aku bertanya kamu, apakah golongan pembesar yang mengikutinya atau rakyat jelata. Kamu kata, rakyat jelata yang mengikutinya. Mereka adalah pengikut para Rasul.” “Aku bertanya kamu apakah mereka bertambah atau berkurang. Kamu katakan bahawa mereka bertambah. Maka begitulah keadaan Iman sehinggalah ia mencapai kemenangan.” “Aku bertanya kamu, apakah ada salah seorang dari mereka murtad dari agamanya kerana membenci agama itu setelah dia memeluknya. Kamu jawab, tiada. Begitulah Iman apabila ia telah bertakhta di hati.” “Aku bertanya kamu, apakah dia pemah mengkhianati perjanjian. Kamu kata dia tidak pemah mengkhianati janji. Begitulah akhlak para Rasul, mereka tidak khianat.” “Aku bertanya kamu apa yang dia perintahkan pada kamu. Kamu jawab, dia memerintahkan kamu agar menyembah Allah yang Esa dan tidak mensyirikkan-Nya. Dia juga memerintahkan kamu mendirikan sembahyang, berkata benar, menjauhi maksiat dan menyambung silaturrahim.” Akhirnya Hiraklius menyatakan, “Kalaulah benar apa yang kamu nyatakan tadi, pasti dia akan menguasai tempat aku berdiri ini. Dia pasti akan mendapat kuasa pemerintahan dan pemerintahannya akan sampai ke tempat ini. Telah ada dalam pengetahuanku bahawa seorang Nabi akan diutuskan tetapi aku sama sekali tidak menyangka bahawa dia daripada kalangan kamu. Kalaulah aku sudah meyakininya aku akan berjalan kepadanya dan kalau aku sudah berada di sisinya aku akan membasuh kakinya.” Selepas sahaja Abu Sufyan keluar dari pertemuan itu dia berkata kepada rombongnnya, “Demi Allah, isu Muhammad ini sudah menjadi besar malah Hiraklius pun takut kepadanya!” Setelah memeluk Islam Abu Sufyan pernah berkata, “Sebenarnya ketika itu Islam telah mula masuk ke dalam hati aku.” Walaupun Abu Sufyan belum mahu masuk Islam lagi ketika itu tetapi rupanya dia sudah terkesan dengan kenyataan Hiraklius itu. Selepas pertemuan inilah Sayyidina Dehya’ pun sampai ke Syam untuk menyampaikan perutusan Rasulullah SAW kepada Hiraklius. Muhammad yang sedang dipertanyakan oleh Hiraklius, tiba-tiba muncul dengan mesej ini: Dengan nama Allah, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. “Dari Muhammad Rasulullah kepada Hiraklius, Pemerintah Rom. Kesejahteraanlah kepada orang yang mengikuti petunjuk. Seterusnya daku menyeru kepada kamu dengan seruan Islam. Terimalah Islam nescaya kamu akan selamat. Allah akan memberikan dua kali pahala kepada kamu. Kalau kamu berpaling maka kamu akan menanggung dosa para petani (kebanyakan rakyat Rom sebagai petani.) Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama di antara kita bahawa kita tidak menyembah selain Allah dan kita tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan janganlah sebahagian kita mengambil sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah. Kalau mereka berpaling, maka katakanlah. Saksikanlah bahawa kami adalah orang yang tunduk kepada Islam. ” Sebaik sahaja diterjemahkan perutusan ini kepada Hiraklius, dia benar-benar gementar apatah lagi dia baru saja berdialog dengan Abu Sufyan. Fikirannya berat dan perasaannya kacau. Ternyata seluruh ciri Kenabian yang diketahuinya ada pada Rasulullah SAW. Sekarang dia sedang menghadapi perutusan Nabi itu. Hiraklius meminta Sayyidina Dehya’ menyampaikan surat itu kepada Safatir yang merupakan pendeta yang paling alim tentang Injil. Dia bersama Ketua Pendeta dan sekumpulan pendeta mengiringi Hiraklius melaksanakan ibadah haji ke Baitul Maqdis. Apabila Safatir membaca surat Rasulullah SAW dia juga merasa gementar. Dia terus bertanya lagi kepada Sayyidina Dehya’ RA segala persoalan demi memastikan lagi bahawa inilah dia Nabi akhir zaman yang telah dikhabarkan dalam Injil. Setelah itu dia berkata, “Aku tahu ini zaman kedatangan Nabi tetapi aku tak sangka dia akan diutuskan dari bangsa Arab. Namun aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Pesuruh Allah.” Safatir telah masuk Islam di tangan Sayyidina Dehya’ RA. Setelah itu Safatir mengumpulkan semua pendeta yang ikut dalam rombongan itu. Dia membacakan kepada mereka perutusan dari Rasulullah dan dia menerangkan kepada mereka tanda-tanda yang ada pada Rasulullah Safatir juga mengingatkan mereka dengan keterangan daripada Injil yang membenarkannya bahawa Muhammad adalah Nabi akhir zaman. Setelah itu dia berkata kepada mereka, “Aku menyeru kamu semua kepada agama Islam dan aku telah bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Pesuruh Allah.” Para pendeta tidak menerima seruan Safatir malah mereka khuatir apabila berita Safatir masuk Islam diketahui oleh orang ramai, mereka akan meninggalkan agama Kristian. Maka mereka telah membunuh Safatir. Gugurlah Safatir sebagai syahid demi kebenaran yang disampaikannya kepada para pendeta dibawahnya. Melihat Safatir dibunuh oleh para pendeta, Hiraklius berasa takut. Hiraklius memberitahu Sayyidina Dehya’ RA, “Kedudukan Safatir lebih mulia dari kedudukan aku. Kalaulah mereka tidak mendengar kata-kata Safatir, mereka juga tak akan mendengar kata-kata aku.” Namun selepas itu Hiraklius telah mengumpulkan para pendeta, para penasihat Kaisar dan semua pembesar Kristian di istananya. Setelah mereka masuk ke dalam istana, Hiraklius memerintahkan tenteranya menutup dan mengawal ketat semua pintu istana. Setelah itu barulah dia berdiri di atas anjung istana. Lalu Hiraklius membacakan kepada mereka perutusan Rasulullah M sambil menyatakan ciri-ciri seorang Nabi dari Injil yang temyata semuanya ada pada diri Rasulullah SAW Hiraklius juga menegaskan bukti-bukti yang membuktikan kebenaran Rasulullah SAW. Seterusnya dia berkata, “Dengan itu aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Pesuruh Allah. Maka marilah kita semua masuk Islam!” Keyataan itu telah mengejutkan semua yang hadir. Mereka sama sekali tidak dapat menerima seruan Hiraklius. Semua mahu lari keluar dari istana tetapi semua pintu istana sudah dikunci dan dikawal ketat oleh tentera. Hiraklius hanya memerhatikan mereka dari atas anjung. Oleh kerana tiada peluang untuk keluar mereka kembali berkumpul dan menyatakan pendirian mereka kepada Hiraklius. Mereka berseru, “Wahai Kaisar! Demi Allah, kami tidak akan meninggalkan agama Kristian walaupun kamu membunuh kami semua!” Sesungguhnya Hiraklius tersepit di antara dua pilihan. Kalaulah semua pembesar Kristian menentangnya, dia pasti akan kehilangan takhtanya. Namun sekiranya dia bersama mereka dia terpaksa menolak kebenaran yang telah diakuinya. Dia mesti membuat keputusan segera demi menyelamatkan keadaan. Lalu dia berkata, “Sebenarnya aku tidak masuk Islam tetapi aku hanya mahu menguji kamu. Apabila aku melihat dakwah Muhammad semakin membesar aku risau terhadap pendirian kamu. Maka aku mahu menguji dan melihat keteguhan agama kamu. Apabila aku dapati kamu semua tetap dengan agama kamu, maka aku juga bersama-sama dengan kamu.” Alangkah leganya seluruh pembesar Kristian mendengar kenyataan ini malah mereka merasa gembira. Hiraklius masih tetap bersama mereka. Selepas itu Hiraklius datang kepada Sayyidina Dehya’ RA. Dia mengirimkan hadiah dan wang emas kepada Rasulullah SAW Dia berpesan, “Beritahu Rasulullah M bahawa aku telah bersaksi bahawa Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Pesuruh Allah. Namun aku terpaksa mengeluarkan ucapanku tadi demi untuk mempertahankan takhtaku. Sebenamya Iman telah masuk ke dalam hati aku.” Apabila Sayyidina Dehya’ RA pulang ke Madinah, dia pun menyampaikan kiriman dan pesanan Hiraklius kepada Rasulullah SAW. Mendengar semua itu Rasulullah SAW telah bersabda: “Musuh Allah ini telah berbohong, dia tidak masuk Islam. Dunia telah menguasainya.” Rasulullah SAW telah membongkar hakikat sebenar Hiraklius. Dia bukan seperti Najasyi kerana dunia telah menguasainya. Lalu Rasulullah SAW memerintahkan supaya semua wang itu diagih-agihkan kepada fakir miskin. Demikianlah perutusan pertama Rasulullah telah menggegarkan seorang pemerintah kuasa besar dunia pada waktu itu.

No comments:

Post a Comment

Live traffic feed